MBI SELANGOR TERIMA ANUGERAH TADBIR URUS DAN KEPIMPINAN BERETIKA BAGI KATEGORI TADBIR URUS KORPORAT DAN ETIKA

KUALA LUMPUR, 10 Disember 2025 (RABU) – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor telah menerima Anugerah ESG Plus Award bagi Tadbir Urus dan Kepimpinan Beretika di bawah kategori Tadbir Urus Korporat dan Etika dalam majlis ESG PLUS Awards 2025 yang berlangsung di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur.

Anugerah yang diperkenalkan oleh ESG PLUS Awards ialah platform pengiktirafan serantau yang menghargai organisasi dengan kepimpinan berorientasikan tujuan, tadbir urus kukuh, dan impak ESG yang boleh diukur. Ia disokong oleh rakan strategik seperti Baker Tilly Malaysia, firma audit terkemuka; ESG Academy (ESGAP), penyedia latihan dan pensijilan profesional ESG; serta Convene ESG, platform pelaporan kelestarian digital selaras piawaian global.

Anugerah ini mencerminkan komitmen padu MBI Selangor dan syarikat milikannya terhadap tadbir urus berintegriti tinggi sebagai asas penciptaan nilai jangka panjang. Dengan portfolio merangkumi sektor-sektor strategik yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi Negeri Selangor, termasuk Tanah & Hartanah, Perlombongan & Mineral, Air, serta Tenaga & Utiliti, MBI Selangor memikul amanah besar untuk memelihara kepercayaan awam dan mengurus risiko institusi dengan berkesan. Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), MBI Selangor terus memperkukuh ketelusan, kecekapan dan pengurusan berasaskan data bagi memastikan setiap keputusan dan operasi menepati standard tadbir urus terbaik.

Kategori Tadbir Urus Korporat dan Etika menghargai organisasi melalui struktur tadbir urus korporat yang kukuh, inisiatif kewanagan yanfg mampan, pelindungan data peribadi yang menyeluruh serta kepimpinan yang berintegriti. Anugerah ini turut meraikan organisasi yang memupuk kepercayaan jangka masa panjang dan menjunjung integriti dalam setiap aspek perniagaan.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Dialog ESG PLUS bertemakan “The ESG Balancing Act: Profit, People & Planet in Today’s Economy” menghimpunkan pemimpin industri untuk berkongsi pandangan, pengalaman, dan amalan terbaik dalam kepimpinan ESG, serta membincangkan cabaran, peluang, dan hala tuju pelaksanaan prinsip kelestarian di Asia.

MBI Selangor yakin penerimaan anugerah ini akan memperkukuh usaha kelestariannya, sejajar dengan agenda pembangunan kelestarian negeri Selangor.

TAMAT

Search