Dibina khas untuk menyokong industri perikanan Sabak Bernam, memperkukuh infrastruktur marin, dan menjana nilai ekonomi jangka panjang kepada komuniti setempat
SABAK BERNAM, 28 JUN 2025 (SABTU) – Kerajaan Negeri Selangor hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam strategi pembangunan wilayahnya menerusi pelancaran rasmi Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan atau Selangor Intergrated Landing Port, sebuah pembangunan infrastruktur pesisir yang bakal menjadi pemangkin transformasi Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan laut, perkhidmatan maritim dan pelancongan lestari.
Pelabuhan ini merupakan komponen utama dalam Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), sebuah inisiatif wilayah di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang mencerminkan anjakan strategik negeri untuk memperkukuh kehadiran Selangor dalam rangkaian udara, darat dan laut melalui pembangunan yang seimbang dan saling berhubung.
Pelaburan awal sebanyak RM500 juta telah dikenal pasti bagi pembangunan infrastruktur berkaitan perikanan di bawah inisiatif Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan, yang dijadualkan bermula menjelang akhir 2026. Langkah ini membuka laluan kepada pelan transformasi menyeluruh yang bertujuan memperkasa sektor perikanan di rantau ini serta meletakkan Sabak Bernam sebagai pusat pertumbuhan ekonomi jangka panjang di pantai barat Selangor.
Pengumuman ini dibuat semasa majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di Pantai Redang, Sabak Bernam, dan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, serta disaksikan oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pemegang taruh projek, wakil syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor dan kepimpinan komuniti. Projek yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor ini dibiayai melalui model perkongsian awam-swasta, dengan Sekinchan Development Holdings Sdn Bhd sebagai pemaju utama yang dilantik.
“Projek pelabuhan bersepadu ini membuka lembaran baharu bagi Sabak Bernam, yang kini beralih daripada daerah sokongan kepada enjin pertumbuhan yang dinamik. Ia bertujuan menjana nilai jangka panjang melalui infrastruktur yang memperkasa rakyat, menjamin kelangsungan hidup, dan meletakkan Selangor sebagai negeri yang tidak meminggirkan
mana-mana daerah. Kita sedang membina asas yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada generasi hari ini, tetapi juga generasi akan datang,” kata YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.
Fasa pertama projek ini meliputi kawasan seluas 84 ekar dalam tempoh lima tahun, dengan 80% daripadanya terletak di atas air, dan akan merangkumi:
- Jeti berpusat dan kompleks perikanan lengkap dengan kemudahan penggredan ikan, penyimpanan sejuk dan pra-pemprosesan.
- Dewan lelongan ikan dan pasar ikan komersial baharu.
- Dok suai arus (Tide-adaptive dock) dan zon parkir bot yang ditetapkan bagi operasi tanpa gangguan.
- Zon pembinaan bot moden dan penyelenggaraan marin.
- Hab logistik sokongan untuk pengedaran makanan laut dan perkhidmatan maritim.
- Penambahbaikan pesisir termasuk pantai awam baharu, kemudahan runcit dan penginapan berperkhidmatan.
YB Datuk Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Perpaduan Negeri Selangor merangkap Pengerusi SABDA, menyatakan bahawa pelabuhan ini mencerminkan misi SABDA untuk mewujudkan pembangunan yang transformatif, berdaya tahan, inklusif dan menjana nilai di pantai barat Selangor. “Apa yang kita lancarkan hari ini ialah asas kepada peluang. Pelabuhan ini bukan sahaja direka untuk menyelesaikan masalah operasi komuniti nelayan kita, tetapi untuk membina masa depan ekonomi yang stabil dan berkembang, sambil mengekalkan keluarga luar bandar sebagai nadi pertumbuhan Selangor.”
Sementara itu, Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, entiti yang memacu inisiatif SABDA secara keseluruhan, menekankan kepentingan projek Sekinchan sebagai sebahagian daripada fokus pelaksanaan negeri Selangor. “Projek ini menjelmakan misi SABDA untuk membawa pembangunan berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat ke kawasan yang kurang mendapat perhatian. MBI Selangor berbangga menyokong inisiatif yang memperlihat potensi sebenar infrastruktur strategik dan inklusif.”
Sebagai sebahagian daripada misi ini, pelabuhan bersepadu tersebut dijangka mewujudkan peluang pekerjaan langsung melalui aktiviti ekonomi baharu, di samping memperbaiki keadaan operasi nelayan tempatan secara ketara menerusi penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang lebih moden. Ia akan membuka potensi industri perikanan Sabak Bernam yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, memperkukuh keseluruhan rantaian nilai makanan laut, serta menyokong pertumbuhan industri secara mampan dan berterusan. Selain itu, pelabuhan ini akan meningkatkan daya tarikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan melalui penambahbaikan kemudahan awam, serta membuka ruang baharu kepada usahawan tempatan untuk mempromosi dan memperdagangkan produk berasaskan komuniti, sekali gus memperteguh peranan Sabak Bernam dalam ekonomi pesisir negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekinchan Development Holding, Kau Git Kaur menyatakan lagi bahawa pembangunan ini dirancang dengan mengambil kira keperluan praktikal di lapangan. “Pelabuhan ini lahir daripada perancangan strategik, maklum balas berterusan daripada komuniti, dan kerjasama pelbagai pihak. Fokus kami adalah untuk menyediakan kemudahan yang benar-benar berfungsi untuk nelayan, peniaga, dan generasi masa depan,” ujarnya.
Pelancaran Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan menandakan langkah penting dalam usaha Selangor memacu pertumbuhan pesisir pantai yang memperkasa kehidupan, menjamin pengeluaran makanan, dan meletakkan Sabak Bernam sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan. Ia sejajar dengan kerangka SABDA untuk memanfaatkan sumber tanah dan marin yang kurang digunakan melalui infrastruktur praktikal, pembangunan kemahiran dan penyertaan inklusif.
TAMAT

